Undang-undang
Dasar Privasi
Dasar ini menerangkan data peribadi yang kami kumpul, cara kami menggunakannya, dan hak anda — untuk aplikasi web TecerTools, Portal Ibu Bapa dan Kertas.
01Pengenalan
TecerTools ("kami", "aplikasi") ialah platform pengurusan tugas guru untuk guru-guru di Malaysia. Dasar Privasi ini merangkumi tiga bahagian perkhidmatan: (a) aplikasi web TecerTools yang digunakan oleh guru, (b) Portal Ibu Bapa yang membolehkan ibu bapa/penjaga melihat rekod anak mereka, dan (c) Kertas (kertas.tecertools.my), bank soalan dan pembina kertas peperiksaan serta lembaran kerja yang menggunakan akaun TecerTools yang sama.
Pengawal data yang bertanggungjawab ke atas data peribadi anda ialah TECERTOOLS DIGITAL SOLUTION (alamat: Indahria Apartment, Persiaran Teknologi Subang, Seksyen 22, 40300 Shah Alam, Selangor), pengendali TecerTools. Sila hubungi kami di alamat pada bahagian akhir dasar ini untuk sebarang pertanyaan berkaitan privasi.
Dasar ini disediakan menurut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) dan pindaan 2024 yang berkuat kuasa, termasuk keperluan pemberitahuan pelanggaran data, mudah alih data, dan Pegawai Perlindungan Data. Baca Akta 709 di pdp.gov.my
02Data yang kami kumpul
(a) Data akaun guru. Apabila anda mendaftar dan menggunakan aplikasi, kami mengumpul:
- Nama, alamat e-mel, dan (jika log masuk melalui Google) nama paparan serta foto profil Google anda
- Maklumat profil guru: sekolah, mata pelajaran, kelas, dan tetapan jadual
- Rekod aktiviti dalam aplikasi seperti log ralat untuk tujuan penyelenggaraan
(b) Data murid dan ibu bapa yang dimasukkan oleh guru. Sebagai sebahagian daripada tugas rasmi anda, aplikasi menyimpan data yang anda masukkan tentang murid:
- Nama murid dan nombor kad pengenalan (IC)
- Markah, gred, tahap penguasaan (PBD/pentaksiran bilik darjah), rekod kehadiran, pencerapan, dan token sahsiah
- Bukti tugasan atau projek (termasuk foto) yang dimuat naik
- Nombor hubungan ibu bapa/penjaga yang direkodkan untuk komunikasi kelas
Sebahagian data ini melibatkan kanak-kanak (murid bawah umur) dan nombor IC, yang kami anggap sebagai data sensitif dan dilindungi dengan langkah keselamatan tambahan.
(c) Data Portal Ibu Bapa. Apabila ibu bapa/penjaga mengakses portal, kami memproses kod kelas yang dimasukkan, sebahagian nombor IC untuk mengesahkan identiti anak, sesi tanpa nama (anonymous) yang diwujudkan untuk akses, dan sebarang bukti yang dimuat naik oleh ibu bapa. Ibu bapa juga boleh membaca kemas kini sokongan yang guru pilih untuk diterbitkan tentang anak mereka sahaja, dan membuka lampiran yang guru lampirkan pada kemas kini itu; setiap kali kemas kini atau lampiran dibuka, satu rekod akses dibuat. Ibu bapa tidak perlu mendaftar akaun.
(d) Data Kertas dan aplikasi percuma lain. Kertas menyimpan bank soalan, kertas peperiksaan dan lembaran kerja yang guru cipta, mula-mula dalam pelayar dan, apabila guru log masuk, disegerakkan ke akaun guru di pelayan TecerTools. Guru boleh berkongsi sesuatu bank soalan dengan guru lain; hanya bank yang dikongsi boleh dilihat oleh guru tersebut. Kertas tidak mempunyai borang log masuk sendiri; sesi guru diserahkan daripada aplikasi web. Figura, Geometrik dan Safari Senyap tidak memerlukan akaun dan tidak menghantar kandungan anda ke pelayan TecerTools; Safari Senyap menganalisis bunyi dalam pelayar dan tidak merakam audio.
(e) Pelan Intervensi. Dalam Analitik Murid, guru boleh menyediakan pelan sokongan untuk murid: keperluan dan garis asas murid, sasaran, SP yang disasarkan, aktiviti yang dirancang dan dijalankan, pemerhatian berulang, semakan dan hasilnya, serta laporan yang dicetak atau dieksport. Ini ialah catatan profesional guru tentang kanak-kanak, jadi guru dinasihatkan menulis perkara yang berkaitan pembelajaran, kehadiran dan tingkah laku di bilik darjah sahaja, dan tidak menulis diagnosis atau maklumat kesihatan. Guru juga boleh menyimpan sumber untuk pelan: pautan web dan fail (PDF, gambar, DOCX, XLSX, PPTX, sehingga 10 MB satu fail). Fail disimpan secara persendirian dan hanya guru pemilik boleh membukanya; jenis dan saiz fail disemak serta metadata gambar dibuang, tetapi fail tidak diimbas untuk virus. Sumber adalah dalaman secara lalai: ibu bapa hanya dapat membuka fail yang guru lampirkan pada kemas kini yang guru terbitkan, dan hanya jika fail itu dikaitkan dengan anak mereka atau guru telah mengesahkan fail itu tidak mengandungi maklumat murid. Guru jangan memuat naik fail yang memaparkan murid lain.
(f) Statistik penggunaan, ralat dan laporan masalah. Untuk memperbaik aplikasi, kami merekod skrin dan ciri yang cikgu gunakan, dikaitkan dengan akaun cikgu: nama halaman (tanpa ID rekod atau kod akses), butang tertentu yang ditekan (hanya kod butang, bukan teks), masa muat halaman, masa respons panggilan ke pelayan, jenis peranti dan pelayar, dan versi aplikasi. Teks yang ditaip, nama murid, No. K/P dan kandungan skrin tidak direkod, dan tiada rakaman skrin. Apabila ralat berlaku, aplikasi menyimpan mesej ralat yang dibersihkan daripada e-mel, No. K/P, nombor telefon dan ID, halaman semasa, versi, jenis pelayar dan peranti, serta beberapa langkah terakhir (kod butang dan nama halaman sahaja). Cikgu juga boleh menghantar laporan masalah dengan teks sendiri (sehingga 1000 aksara; jangan tulis nama murid); jika cikgu menanda “boleh dihubungi”, kami boleh membalas melalui e-mel akaun cikgu. Tiada tangkapan skrin dihantar. Cikgu boleh mematikan perekodan penggunaan di Tetapan > Privasi pada bila-bila masa.
03Tujuan pemprosesan
Kami memproses data peribadi hanya untuk tujuan berikut, selaras dengan Prinsip Notis & Pilihan dan Prinsip Tujuan APDP:
- Menyediakan fungsi teras aplikasi: pengurusan kelas, jadual, pentaksiran, kehadiran, dan pelaporan
- Mengesahkan identiti pengguna dan mengekalkan sesi log masuk yang selamat
- Membolehkan ibu bapa/penjaga melihat rekod prestasi anak mereka melalui Portal Ibu Bapa
- Membolehkan guru merancang, menjalankan dan menyemak sokongan tambahan untuk murid (Pelan Intervensi), dan berkongsi kemas kini yang guru pilih dengan ibu bapa murid itu
- Menyelenggara, menyahpepijat, dan menambah baik keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan
- Memahami ciri yang digunakan, mengesan dan membaiki ralat, memantau prestasi dan ketersediaan perkhidmatan, dan membalas laporan masalah yang cikgu hantar
Kami tidak menjual data peribadi anda, tidak memaparkan iklan, dan tidak menggunakan data untuk pemasaran pihak ketiga.
04Asas pemprosesan & persetujuan
Guru memasukkan data murid dalam menjalankan tugas rasmi mereka sebagai pendidik. Guru bertanggungjawab memastikan pengumpulan data murid mematuhi dasar sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Bagi Portal Ibu Bapa, ibu bapa/penjaga memberikan persetujuan dengan mengakses portal dan mengesahkan identiti anak mereka.
Anda boleh menarik balik persetujuan pada bila-bila masa dengan menghubungi kami, walaupun ini mungkin menghadkan keupayaan anda untuk menggunakan sebahagian perkhidmatan.
05Perkongsian & pemproses data
Akaun, data murid dan data sekolah anda disimpan dan diproses pada pelayan TecerTools sendiri (pangkalan data Supabase yang dihoskan sendiri) di Kulai, Johor, Malaysia. Kami hanya menggunakan pemproses pihak ketiga yang terhad berikut, masing-masing untuk tujuan yang dinyatakan:
- Penyedia AI — OpenAI (Amerika Syarikat) sebagai penyedia utama, dan DeepSeek (China) hanya sebagai sandaran untuk tugas teks apabila OpenAI tidak tersedia; penjanaan gambar menggunakan OpenAI sahaja. Kami tidak menyimpan permintaan AI dalam papan pemuka OpenAI, tetapi penyedia boleh menyimpan permintaan API sehingga 30 hari untuk tujuan pemantauan penyalahgunaan sebelum dipadam. Cikgu menyemak semua hasil AI; AI tidak menentukan TP, gred atau tindakan terhadap murid. Ciri yang menggunakan AI dan apa yang dihantar: (1) Menjana RPH: subjek, nama kelas, bilangan murid dan butiran RPT bagi waktu itu (tajuk, SK dan SP); nama, No. K/P dan rekod murid tidak dihantar. (2) Membaca dokumen RPT atau borang RPH sekolah, serta gambar atau PDF imbasan RPT, yang anda muat naik, dan membaca gambar takwim atau jadual waktu: fail itu dihantar sepenuhnya kepada penyedia, jadi jangan sertakan data peribadi murid di dalamnya. (3) Lembaran Kerja di Kertas (pelan Professional): hanya medan pendidikan terpilih seperti subjek, tahap, topik, SK/SP dan objektif, serta pilihan guru; refleksi, kehadiran murid serta butiran guru atau sekolah tidak dihantar. (4) Gambar AI untuk lembaran kerja: hanya satu perkataan, satu motif atau satu huraian adegan pendek; gambar yang dijana disimpan dalam pustaka bersama mengikut kata kunci, tanpa data peribadi. (5) Cadangan Pelan Intervensi (pelan Professional): AI boleh mencadangkan draf pelan, menyesuaikan satu aktiviti, atau meringkaskan semakan. Murid diwakili oleh label rekaan seperti "Murid A", "Murid B"; nama, No. K/P, nombor hubungan, lampiran dan fail tidak dihantar. Yang dihantar ialah tahap, subjek, kategori, SP yang dipilih dan teks yang guru taip dalam pelan (keperluan, sasaran, garis asas, hasil semakan), serta bilangan sesi dan skor pemerhatian; oleh itu jangan taip nama murid, No. K/P atau maklumat kesihatan dalam teks tersebut. AI tidak menyatakan sebab atau diagnosis tentang murid dan tidak membuat keputusan; cadangan hanya digunakan apabila guru menekan butang untuk menggunakannya. Ciri padanan nama dalam sambungan Chrome Kehadiran menggunakan penyedia yang sama, seperti dinyatakan dalam Dasar Privasi Kehadiran. Google Gemini tidak digunakan.
- Google Analytics 4 — statistik penggunaan aplikasi: laluan halaman (tanpa ID rekod atau kod akses), langkah persediaan dan panduan yang diselesaikan, dan jenis ralat. Nama, No. K/P, teks ralat dan data murid tidak dihantar, dan data ini tidak digunakan untuk pengiklanan.
- Stripe — pemprosesan bayaran langganan. Butiran kad dikendalikan oleh Stripe dan tidak disimpan oleh kami.
- Cloudflare — menyampaikan laman web tecertools.my.
Pemindahan rentas sempadan: pemproses di atas (terutamanya penyedia AI dan Stripe) mungkin memproses data di luar Malaysia. Kami mengambil langkah munasabah untuk memastikan data dilindungi pada tahap yang setara dengan APDP semasa pemindahan tersebut.
Kami tidak berkongsi data peribadi dengan pihak ketiga lain selain yang dinyatakan di atas kecuali jika dikehendaki oleh undang-undang atau perintah mahkamah yang sah.
06Penyimpanan & pengekalan
- Data murid (nama, IC, markah, kehadiran, PBD, bukti) disimpan selagi kelas atau murid itu aktif dalam akaun guru. Kelas dan murid yang diarkibkan dipadam secara automatik dua tahun selepas diarkibkan, dan semua data (termasuk gambar bukti) dipadam apabila guru memadam akaunnya.
- Pelan Intervensi (termasuk pemerhatian, semakan dan sumber) disimpan selagi kelas atau murid yang berkaitan aktif dalam akaun guru. Guru boleh memadam sumber atau pelan pada bila-bila masa; fail yang dipadam, atau yang pelan, murid, kelas atau akaunnya dipadam, dibuang daripada storan melalui proses pembersihan automatik. Apabila sesuatu pelan telah ditutup lebih setahun dan masih menyimpan fail, aplikasi mengingatkan guru untuk menyemak dan memadam fail yang tidak lagi diperlukan; fail tidak dipadam tanpa tindakan guru melainkan pelan, murid, kelas atau akaun itu dipadam. Kemas kini yang diterbitkan kepada ibu bapa kekal sehingga guru menariknya balik (ia kemudian disembunyikan daripada ibu bapa) atau sehingga murid, kelas atau akaun dipadam.
- Statistik penggunaan yang dikaitkan dengan akaun dan laporan masalah disimpan 13 bulan (rumusan harian tanpa identiti boleh disimpan lebih lama); data masa respons panggilan ke pelayan disimpan 30 hari; semuanya dipadam bersama akaun guru.
- Log ralat aplikasi disimpan 90 hari; log akses Portal Ibu Bapa (termasuk bila kemas kini atau lampiran dibuka) disimpan satu tahun.
- Data akaun guru disimpan selagi akaun anda aktif, dan dipadam apabila anda meminta penghapusan akaun.
- Sesi tanpa nama ibu bapa adalah sementara dan tidak dikaitkan dengan akaun tetap.
07Keselamatan
Kami melindungi data dengan langkah teknikal termasuk kawalan akses peringkat baris pangkalan data (row-level security) yang menghadkan akses hanya kepada pemilik data (guru yang mengesahkan diri), pengesahan e-mel untuk akaun guru, akses ibu bapa melalui sesi tanpa nama dengan pengesahan IC, penghantaran data yang disulitkan (HTTPS), dan storan fail persendirian tanpa akses terus daripada pelayar: fail dibuka melalui pautan sementara yang sah beberapa saat sahaja selepas pemeriksaan akses. Walau bagaimanapun, tiada sistem yang benar-benar kalis risiko; kami menggalakkan anda menjaga kerahsiaan butiran log masuk anda.
08Hak anda
Di bawah APDP, anda berhak untuk:
- Mengakses data peribadi yang kami simpan tentang anda
- Membetulkan data yang tidak tepat atau tidak lengkap
- Menarik balik persetujuan dan meminta penghapusan data
- Meminta mudah alih data (memindahkan data anda dalam format yang boleh dibaca) selaras dengan pindaan APDP 2024
Untuk melaksanakan mana-mana hak ini, hubungi kami di alamat pada bahagian akhir dasar.
09Pemberitahuan pelanggaran data
Selaras dengan pindaan APDP 2024, sekiranya berlaku pelanggaran data peribadi yang boleh mendatangkan bahaya yang ketara, kami akan memberitahu Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi dan, jika perlu, individu yang terjejas, dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang.
10Hubungi kami tentang data peribadi
Untuk sebarang pertanyaan, permintaan akses/pembetulan, atau aduan berkaitan data peribadi anda, sila hubungi TECERTOOLS DIGITAL SOLUTION di: tecertools@gmail.com
11Perubahan kepada dasar ini
Jika dasar ini berubah, tarikh "Kemas kini terakhir" di atas akan disemak semula. Perubahan penting akan dipaparkan di sini sebelum ia berkuat kuasa.